Assalammualaikum W.B.T
Alhamdulillah segala puja dan puji kita panjatkan ke hadrat ALLAH S.W.T Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam kita lafazkan ke atas junjungan besar baginda Rasulullah S.A.W dan seluruh kaum keluarga dan sahabat baginda kerna atas usaha dakwah tanpa mengenal penat dan lelah kita masih lagi dapat menikmati 2 nikmat yang terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam. Cuba kita renungkan bagaimanakah keadaan kita kini jika 2 nikmat ini ditarik olehNYA? Apakah kita menghargai 2 nikmat ini atau sebaliknya? Begitulah sifat kita sebagai makhluk yang lemah seringkali lupa dengan nikmat yang ada.
Begitu lama diriku tidak menjengah dan menitipkan sesuatu dalam laman sesawang ini, dibiarkan laman ini bersawang dengan tinta-tinta lama tanpa sebarang perkongsian baru. Kini aku cuba mengagahkan diri untuk memanfaatkan semula laman peribadiku ini sebagai wasilah perkongsian dan diskusi ilmu. Diharapkan tulisan yang tidak seberapa ini dapat menjadi santapan rohani buat kita semua.
Tika ini aku sedang menjalani praktikal industri bagi memenuhi silibus dan syarat untuk memiliki segulung ijazah. Tempoh masa 5 minggu yang telah ku tempuhi memberi banyak pengalaman baru di alam pekerjaan,bagaimana untuk membahagikan masa antara kerja dan urusan peribadi, pengisian rohani, kerja jemaah dan sebagainya. Ketika inilah kita dapat menilai sejauhmana keupayaan menempuhi cabaran realiti kehidupan. Moga kita semua tabah dan cekal mendepani setiap mehnah dan tribulasi yang mendatang.
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………
“Lihatlah sesuatu dengan mata hati” kata manager tempatku kerja..itulah nasihat dan teguran yang telah disampaikan olehnya kepada kami semua ketika sesi meting pagi membincangkan progress projek yang telah diberikan. “kerja yang kamu lakukan ini bukanlah hanya untuk mendapat gaji semata-mata, tetapi adalah untuk menambahkan ilmu, cuba kaitkan dengan solat, ketika solat kita hendaklah khusyuk dan fokus, begitulah ketika kerja,berikan tumpuan dan fokus ketika menyiapkan kerja, cuba lihat bangsa lain bekerja,mereka begitu tekun dan fokus bekerja,sehari 12 jam,tidak hairanlah jika mereka berjaya dalam perniagaan dan pekerjaan. Sebagai seorang jurutera muslim kita perlulah menilai sesuatu kerja dengan mata hati, kaitkan ilmu kejuruteraan dengan kehebatan dan kebesaran ALLAH yang menjadikan tiap sesuatu,tidaklah hanya melihat sesuatu dari sudut luaran sahaja. Jika kita tidak dapat mengaitkan tiap sesuatu dengan keESAanNYA,dan tidak sensitif dengan apa yang berlaku,semaklah semula hubungan hati kita dengan ALLAH Taala, janganlah sehingga hati kita telah ditutup dari cahaya hidayahNYA”….dialog antara seorang manager dengan anak buahnya pada suatu pagi.
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………

“Lihatlah dan renunglah sesuatu dengan mata hati” kata-kata tersebut masih terngiang-ngiang di telinga dan mindaku. Kehendakku untuk mendalami hikmah kata-kata ini semakin menebal. Alangkah kotornya hati hambaMU ini Ya Allah..sering lalai dari mengingatiMU dan leka dengan keasyikan dunia yang fana. Teringat sabda baginda Rasulullah S.A.W..dalam diri manusia ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah manusia tersebut, jika jahat daging tersebut maka jahatlah manusia tersebut, itulah hati..
Kata Imam Al-Ghazali:”Carilah hatimu sewaktu membaca Al-Quran. Jika kau tidak temui, carilah hatimu ketika menunaikan solat. Jika tidak ditemui,carilah hatimu ketika duduk bertakakur mengingati Allah, Jika kau tidak temui juga, berdoalah kepada Allah pinta hati yang baru….”
Berhati-hatilah menjaga hati kita kerna amalan yang sebesar gunung pun tidak akan bernilai dan akan hancur menjadi debu sekiranya dilakukan tanpa niat yang ikhlas. Seluruh amal ibadah yang kita lakukan sebenarnya adalah untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti hati kita . sesungguhnya kualiti hati menentukan kualiti amalan dan kuantiti amalan menentukan kualiti hati. Setiap ibadah yang dilakukan adalah untuk membersihkan dan mendekatkan hubungan hati kita kepada pencipta Yang Maha Esa. Jauhkan diri kita daripada melakukan maksiat kpdNYA kerana virus dosa dan maksiat akan menghakis naluri hati sedikit demi sedikit….
Marilah kita melazimi mencapai Al-Quran dan membacanya,bacalah ayat-ayat Allah itu kerana ianya pasti akan menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan. Itulah penawar kepada jiwa dan pengubat kepada HATI. Rawatlah hati kita dengan 3 cara yakni 1. Sering membaca Al-Quran 2. Menunaikan solat dan ketiga ialah dengan mengingati mati.
Cukuplah mati sebagai satu peringatan,dengan mengingati mati akan memadamkan rasa nikmat melakukan maksiat, memadam rasa enggan menunaikan solat dan ketaatan..berdoalah agar kita dikurniakan hati yang khusyuk dan tawadhuk..berhati-hatilah kita menjaga hati,jangan sampai kita kehilangannya…Waallahualam..
(mendamba redha Ilahi,12.50am)